Amanda Selami Cinta (Harian Metro)

Amanda Selami Cinta
Oleh FIRDAUS SAHAT
firdaussahat@hmetro.com.my

KEPERCAYAAN diberikan Ajai tidak dipersia-siakan. Malah, ilmu diterima daripada penyanyi dan komposer itu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh gadis ini.

Bagi pemilik nama Amanda Imani, amat disedari laluan berliku yang menanti di depannya dan bimbingan Ajai selaku orang berpengalaman dalam dunia seni satu jaminan kejayaannya.Oleh itu, sifat mengalah tidak wujud dalam kamus hidupnya. Di bawah tunjuk ajar sifunya, dua lagunya berjudul I’m Free dan Selamilah Cinta mula dimainkan stesen radio tempatan. Katanya, lagu berkenaan menjadi pengenalan untuk dia dikenali. Buat masa ini, Amanda mahu menumpukan perhatiannya kepada single berkenaan sebelum albumnya ada di pasaran.“Sebagai orang baru, bukan mudah untuk saya menceburi bidang ini. Begitupun, tidak salah jika saya mencuba. Sebab itu saya cuba tampilkan dua lagu ini sebagai single terlebih dulu.“Lagipun, sebelum tampil dengan album penuh, lebih baik saya menguji pasaran serta kualiti lagu ini. Saya sedar bukan mudah untuk orang baru seperti saya bergelar penyanyi. Namun jika ada kemahuan, pasti akan ada kejayaan,” katanya.

Yang menariknya, meskipun baru saja diputarkan stesen radio, Selamilah Cinta mula tersenarai dalam carta popular beberapa stesen radio.Menurut Amanda, perkembangan itu sesuatu yang tidak dijangka olehnya.“Siapa sangka lagu daripada penyanyi yang baru hendak membina tapak dalam dunia hiburan seperti saya mula mendapat perhatian. Malah, beberapa pendengar memberi komen baik terhadap lagu berkenaan.“Lagipun, dua lagu berkenaan sudah dirakam untuk dipasarkan tidak lama lagi,” katanya yang teruja dengan sambutan daripada pendengar. Menariknya, album mini yang menampilkan dua single berkenaan tidak dipasarkan begitu saja. Sebaliknya, peminat yang memiliki album mini itu akan turut dihiburkan dengan klip video untuk setiap lagu berkenaan.
“Untuk album mini ini, saya turut memuatkan dua video klip khas buat peminat. Malah, Ajai menjadi ‘cameo’ dalam lagu Selamilah Cinta manakala menerusi lagu I’m Free, saya berduet bersama Samuel Rizal,” katanya.Tambah Amanda, walaupun fokus utamanya kini kepada dua single berkenaan, namun album penuhnya yang menampilkan 10 lagu baru itu sudah siap dirakam. Begitupun, gadis ini masih menunggu waktu sesuai untuk memasarkannya.“Walaupun keseluruhan proses rakaman album pertama saya sudah siap dirakam, namun lebih elok jika saya memberi tumpuan kepada single ini dulu. Takut nanti album tidak laku gara-gara tidak dikenali.“Insya-Allah, jika tiada aral, ia akan dipasarkan tidak lama lagi. Selain Ajai, saya mencipta beberapa buah lagu berbahasa Inggeris, antaranya I’m Free. Sedikit sebanyak, ia menjadi medan untuk saya berkarya selain menyanyi,” tutur Amanda.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

Leave a Reply