Selamat Datang Amanda! (Harian Metro)

Selamat Datang Amanda!
(HARIAN METRO)
Oleh FIRDAUS SAHAT
13 Oktober 2008

MELIHAT usianya, gadis ini masih muda, malah mendengarkan namanya saja sudah cukup untuk menimbulkan tanda tanya siapakah gerangannya. Begitupun, jangan pula tidak percaya apabila suara lunak dimilikinya mencuri perhatian Ajai sehingga dia disunting menjadi artis rakaman Wake The Baby. Bagi Amanda Imani atau selesa disapa Amanda saja, usia muda tidak perlu menjadi halangan jika minatnya dalam dunia nyanyian.

Katanya, minat menyanyi sudah dipupuk sejak usianya menjangkau 14 tahun. Sehingga kini, dia kerap berlatih memperbaiki mutu vokalnya dan akhirnya, peluang membuat persembahan sebagai artis jemputan memenuhi jadualnya.

“Sebelum bersama Wake The Baby, pernah juga saya bernyanyi di bebrapa majlis di sekitar Kuala Lumpur. Dari situ, saya mencari pengalaman sebanyak mungkin.

“Sekalipun masih lagi bersekolah, ia bukan penghalang untuk saya meneruskan minat ini. Lagipun, memenuhi undangan sebagai jemputan di majlis korporat hanya di waktu lapang. Ketika bersekolah, saya tumpukan perhatian sepenuhnya kepada pelajaran.

“Begitupun, rezeki menyebelahi saya apabila Abang Ajai turut ada di satu majlis yang menjemput saya membuat persembahan. “Selepas menyanyi, Abang Ajai memanggil kemudian menawarkan saya untuk menjadi artis rakamannya.

“Mula-mula terkejut juga di atas keyakinan yang diberikannya. Manakan tidak, pada mulanya saya menyanyi sekadar suka-suka saja, tetapi dia percayakan saya lebih daripada itu. “ Ia peluang keemasan buat saya, jadi saya menerimanya dengan hati terbuka,” katanya.

Menurut gadis berusia 17 tahun itu, lamaran Ajai untuk bersama Wake The Baby dilafazkan kepadanya tahun lalu. Bermula Disember, perjanjian bersama Wake The Baby dimeterai. “Alhamdullilah, menjadi artis Wake The Baby banyak memberikan kelebihan kepada saya. Abang Ajai turut mengajar saya pelbagai perkara untuk menjadi penyanyi yang baik.

“Bermula Mac 2008, saya mula masuk studio untuk proses rakaman album sulung. Terima kasih kepada Abang Ajai kerana berusaha keras untuk merealisasikan hajat saya ini dan kini, Ia bakal dipasarkan tidak lama lagi,” katanya.

Tambahanya, album yang mengambil namanya sendiri sebagai judul itu menampilkan 12 lagu. Apa yang menariknya, enam lagu ditulisnya sendiri.

“Dalam album ini, saya tampilkan enam lagu dalam bahasa Inggeris manakala enam lagi dalam bahasa Melayu. Pendek kata, ini album campuran yang bergenrekan ‘pop folk’.

“Selain itu, saya menulis lirik untuk enam lagu bahasa Inggeris dan satu Melayu. Selain cuba mengetengahkan bakat dalam nyanyian, saya juga mahu mencuba bidang penulisan lirik.

Bagi saya, tidak salah jika kita mencuba mencari pengalaman. Saya harap, percubaan pertama ini dapat diterima pendengar,” katanya.

Amanda berkata, album ini juga turut menampilkan dua single di dalam kedua-dua bahasa berjudul I’m Free (Yeah) dan Selamilah Cinta.

“Keseluruhan lagu dalam album ini menceritakan mengenai kehidupan seorang remaja. Konsep begini sesuai buat saya dan remaja di luar sana,” katanya.

Apabila dianya mengenai harapannya, gadis ini berkata, matlamat utamanya cuma mahu merealisasikan minat ada sejak kecil.
“Sejak kecil saya memang minat menyanyi dan saya bukan hanya mahu mencari glamour. Sebelum merakam album, saya tidak pernah terfikir untuk bergelar artis rakaman.

“Hanya selepas diberi kepercayaan oleh Abang Ajai, semangat itu makin bertambah. Semuanya terpulang kepada rezeki dan saya akan sentiasa melakukan yang terbaik,” katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

Leave a Reply